4) APA MAKSUD "ANAK PERLUKAN IBU YANG MENGERTI, BUKAN YANG SEMPURNA' ?

Bismillah.
Alhamdulillah. 
Assalamualaikum, 



Bukan yang sempurna 

  "Anak perlukan ibu yang mengerti , bukan yang sempurna" bermaksud anak tidak memerlukan seorang ibu yang tidak pernah melakukan kesilapan. Sebaliknya, mereka memerlukan seorang ibu yang ikhlas menyayangi, jujur terhadap dirinya, hadir ketika diperlukan, dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.

   Ramai ibu berasa mereka mesti sentiasa sabar, sentiasa betul, dan tidak boleh melakukan kesilapan. Hakikat nya, tiada manusia yang sempurna. Kesempurnaan hanyalah milik Allah سبحانه وتعالى. 

   Anak juga tidak menilai ibunya berdasarkan kesempurnaan, tetapi berdasarkan kasih sayang, perhatian, dan rasa selamat yang diberikan.

   Ibu yang "mengerti" akan mendengar sebelum menghukum, cuba memahami sebelum memarahi, dan sanggup mengakui kesilapan apabila tersilap.


Minta maaf

   Jika suatu hari dia meninggi kan suara, dia tidak malu meminta maaf kepada anak. Sikap ini bukan menjatuhkan wibawa seorang ibu, bahkan mengajar anak tentang kejujuran, rendah hati, dan tanggungjawab atas kesalahan sendiri.


Mudah kecewa

  Sebaliknya, apabila seorang ibu terlalu mengejar kesempurnaan, dia mungkin mudah kecewa apabila anak tidak memenuhi harapannya. Anak pula akan berasa takut melakukan kesilapan kerana bimbang dimarahi atau dibandingkan dengan orang lain. Lama-kelamaan, hubungan menjadi renggang dan anak lebih cenderung menyembunyikan masalah daripada berkongsi dengan ibunya.

Allah berfirman:

  "Maka dengan sebab rahmat daripada Allah engkau berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras lagi berhati kasar, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu."
Ini adalah firman Allah dalam (Surah Ali 'Imran ayat 159)

  Walaupun ayat ini ditujukan kepada Rasulullah ﷺ dalam memimpin umat, para ulama menjelaskan bahawa ia juga menjadi panduan penting dalam mendidik manusia, termasuk anak-anak. 


Kelembutan 

   Kelembutan lebih membuka hati daripada kekerasan.
Rasulullah ﷺ juga bersabda:

   "Sesungguhnya sifat lemah lembut tidaklah ada pada sesuatu melainkan ia menghiasinya, dan tidaklah ia dicabut daripada sesuatu melainkan ia akan mencacatkannya."
(Hadis riwayat Sahih Muslim) 

   Ia mengajar bahawa kelembutan adalah kekuatan dalam mendidik, bukan kelemahan.

  Sebagai contoh, apabila anak memecahkan gelas, ibu yang mengejar kesempurnaan mungkin terus memarahi: "Kenapa cuai sangat?" 

   Sebaliknya, ibu yang "mengerti" akan memastikan anak tidak cedera terlebih dahulu, kemudian berkata, "Lain kali kita lebih berhati-hati." Dari sini, anak tetap belajar tentang    tanggung- jawab, tetapi tanpa kehilangan rasa selamat untuk belajar daripada kesilapan.


    Begitu juga apabila ibu tersilap memarahi anak. Seorang ibu yang ikhlas akan berkata, "Maaf, ibu tadi terlalu marah." Permintaan maaf seperti ini tidak mengurangkan penghormatan anak kepada ibunya, bahkan mengajar bahawa orang yang mulia ialah orang yang berani mengakui kesilapan.


Kesimpulan 

   Kesimpulannya, anak tidak memerlukan ibu yang sempurna. Mereka memerlu- kan ibu yang penyayang, sabar, mudah memaafkan, dan sentiasa kembali kepada Allah apabila melakukan kesilapan. 

   Kasih sayang, keikhlasan, dan akhlak yang baik akan membentuk jiwa anak jauh lebih kuat daripada usaha untuk menjadi ibu yang kelihatan sempurna.

   Semoga Allah mengurniakan setiap ibu hati yang penuh rahmah, kesabaran dalam mendidik, dan menjadikan anak-anak sebagai penyejuk mata serta pewaris iman yang soleh. Aamiin.


Semoga bermenafaat dan sila kongsikan dengan orang lain. 


Jalan Hasan, Sg. Udang
7/7/26

Comments